Rezeki kitar semula

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Selesai urusan menghantar anak ke Tadika pada hari pertama semalam, aku menuju ke pusat kitar semula untuk menghantar bekas-bekas kontena produk Herbalife. Ini satu lagi kebaikan produk ini, bukan sahaja produknya berkesan dan berkualiti malahan bekasnya juga boleh dikitar semula.

Setiba di pusat kitar semula, ramai yang sedang beratur menunggu giliran menimbang barangan masing-masing. Suasana yang diluar jangkaan namun di zaman ekonomi kurang memberangsangkan ini, segala-galanya menjadi punca rezeki asalkan rajin berusaha. Barangan yang paling banyak kulihat adalah tin-tin kosong, kotak-kotak kosong serta besi-besi buruk. Insan-insan yang rajin mengutip besi buruk serta tin-tin kosong yang kebanyakan bertaburan di merata tempat atau di tong-tong sampah ini sebenarnya memberi sumbangan besar kepada negara kita. Tanpa mereka dan hanya mengharapkan pihak berkuasa yang berkenaan maka tidak hairan jika kita ditimbuni sampah-sarap satu hari nanti.

Selain membantu membersihkan persekitaran, mereka juga memperoleh pendapatan yang pada sesetengah orang dianggap tidak berbaloi dengan usaha. Setiap manusia dikurniakan rezeki yang pelbagai dan kita akan rasa bersyukur sekiranya melihat mereka yang kurang daripada kita. Namun jika kita sering membandingkan hidup dengan mereka yang lebih daripada kita, dibimbangi kita akan termasuk dalam golongan yang kufur nikmat.

Bisnes kitar semula ini telah lama beroperasi dan masih bertahan, nampaknya ketika ekonomi agak suram ini, bisnes kitar semula bercahaya dengan terang. Berbanding kebanyakan bisnes yang kelihatan sofistikated dan canggih namun tidak berdaya tahan. 






Comments

Topik popular